Friday, April 4, 2014

Orang Tua Yang Menjadi Hujah

"Terdengar keluhan seorang lelaki tua yang terjatuh di luar pintu masuk  premis surau kampung. Kedengaran pula seorang yang mungkin masih berada di pangkir surau bergegas mendapatkannya untuk membantu dia untuk bangun dan kemudian memimpinnya ke surau. 

Kami yang berada di dalam surau juga seperti terdengar sesuatu.

“Haji Salam terjatuh tu!”  Terdengar seseorang berkata dari atas beranda surau.
Ketika itu, iqamat sedang dilaungkan. Pemuda yang menyudahkan lafazkan iqamah itu tiba-tiba terus meninggal saf pertama dan keluar surau.  Tiada apa yang menghairankan. 

Bapanya yang terjatuh itu. Kami merapatkan ruang kosong yang ditinggalkan. Tidak lama, kedengaran susuk tubuh haji Salam dibantu untuk duduk di kerusi di saf kedua.
Itulah satu kisah benar di waktu subuh di surau kampung saya hanya beberapa hari yang lalu.

Orag tua itu bernama Haji Salam. Umurnya sekitar 60 tahun. Seorang yang komited pada solat Jemaah. Saya percaya ia pembawaan sifat diri sejak zaman muda. 

Saya juga percaya pembawaan sifat ini didisiplinkan melalui penglibatan seriusnya dalam pegerakan ‘Jemaah tabligh’.

Suatu hari, beberapa lama yang dahulu, haji Salam diserang angin ahmar. Ketika itu, dia juga sedang berada di perkarangan surau bagi persediaan untuk solat zohor. 

Sejak itu, untuk suatu tempoh tertentu, dia tidak lagi hadir ke surau. Saya percaya, keadaan yang menimpanya telah menyukarkan dia hadir ke surau, jika tidak, pasti dia akan menghadirkan diri untuk solat jemaah setiap waktu.

Dia kemudian kembali, kembali ke surau. Kehadirannya disambut ceria. Walaupun begitu, keadaannya berbeza daripada sebelum itu. Dia lebih banyak berdiam. Pergerakkannya juga perlahan. Daya ingatannya juga terkesan. Solatnya juga secara duduk di kerusi. Sekali sekali dia menggagahkan diri bersolat tanpa kerusi dan jiran-jiran solatnya pasti perasan betapa dia memerah kudrat untuk bangun berdiri tegak sesudah sujud.

Pergi dan pulangnya sentiasa dibantu. Ada kalanya, dia terpaksa juga berjalan seorang diri dari rumahnya iaitu ketika anaknya tiada atau tiada sesiapa untuk membawanya dengan motorsikal. Ini bukti bahawa dia tetap berusaha untuk hadir solat fardu jemaah setiap waktu. Bahkan dia selalunya hadir sekitar 10-20 minit awal sebelum masuk waktu solat.

Hari ketika dia terjatuh itu ialah ketika dia berjalan seorang diri daripada rumahnya menuju surau di waktu subuh.

Inilah sebahagian ceritanya. Saya tidak menceritakan melainkan untuk kita sama-sama berfikir dan mengambil pengajaran daripadanya.

Kehadiran kaum adam untuk bersolat subuh di surau kampung saya ini lazimnya tidak lebih 2 saf. Persoalannya di mana mereka yang lain? Apakah alasan mereka untuk tidak hadir? 

Sakit, jauh, mengantuk, tak sedar diri atau apa jua alasan yang lain.
Hakikatnya diri sendiri yang sedar kewajaran alasan ketidakhadiran itu.
Cuma.

Di kala seorang tua bernama Haji Salam berusaha keras untuk melakukannya, kita takut alasan ketidakhadiran kita ‘tidak cukup kuat’ untuk diterima di sisi-Nya!

Ketahuilah, orang tua itu juga adalah satu ‘hujah hidup dan bergerak’ yang ditampakkan di depan mata-mata manusia ….

semoga ada yang memandang dengan mata hati!
Wallahu taala alam.



hisham-ahmad.blogspot.com

No comments:

Post a Comment