Tuesday, April 8, 2014

Jalan raya Pulau Pinang busuk

PETALING JAYA: Tumpahan air kurasan (air daripada sampah) dari lori kompaktor pelupusan sampah di jalan raya Pulau Pinang yang tidak dibersihkan menyebabkan jalan raya menjadi kotor dan berbau busuk, menurut Laporan Ketua Audit Negara.
Laporan tersebut menyebut lawatan Jabatan Audit Negara di kawasan-kawasan pungutan sampah di negeri tersebut mendapati berlakunya tumpahan air kurasan di atas jalan raya ketika proses mampatan sisa pepejal dilakukan.
“Pemerhatian Audit mendapati walaupun lori kompaktor yang digunakan dilengkapi dengan tangki takungan air kurasan namun air kurasan masih mengalir keluar kerana tangki takungan air kurasan didapati telah berkarat dan beberapa bahagian tangki tersebut bocor.
“Tumpahan air kurasan ini tidak dibersihkan dan tidak disembur dengan bahan kimia bagi menghapus kuman menyebabkan jalan raya menjadi kotor serta berbau busuk,” menurut laporan tersebut.
Laporan Ketua Audit Negara turut menyatakan kajian yang sama pernah dijalankan di Pulau Pinang pada tahun 2003 dan 2008 dan antara kelemahan yang pernah dibangkitkan ialah air kurasan mengalir keluar dari lori kompaktor ke jalan, kutipan sisa pepejal tidak mencapai had minimum serta kekurangan lori kompaktor.
Pungutan sampah di negeri tersebut dibahagikan kepada lapan zon dimana Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) menguruskan satu zon manakala baki tujuh zon telah dikontrakkan kepada syarikat swasta.
“Berdasarkan maklum balas Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bertarikh 21 Januari 2014, perkhidmatan pungutan, mengangkut dan pembuangan sisa pepejal di kawasan Balik Pulau, MPPP sedia maklum keadaan kenderaan usang yang digunakan.
“Langkah pemulihan yang sewajarnya telah diambil dengan membuat perolehan tiga buah lori kompaktor dan dua buah lori multi-lift. Kesemua kenderaan tersebut telah diterima pada bulan Disember 2013,” menurut laporan itu lagi.
Selain daripada itu, Jabatan Audit Negara turut menemui enam lagi kelemahan dalam pengurusan sampah di Pulau Pinang iaitu:
1. Lori kompaktor Majlis kurang dibekalkan menyebabkan perkhidmatan pungutan sisa pepejal kurang cekap.
2. Papan Jadual Perkhidmatan tidak disediakan di zon perkhidmatan MPPP dan tidak dikemas kini di zon perkhidmatan
kontraktor.
3. Berat sisa pepejal yang dilupuskan oleh kontraktor tidak dapat mencapai berat minimum yang ditetapkan dalam kontrak.
4. Kapasiti tong sampah yang kecil tidak dapat menampung jumlah sisa pepejal yang dibuang oleh orang awam.
5. Jumlah pepejal terampai di semua lokasi sekitar tapak pelupusan melepasi had piawaian yang dibenarkan.
6. Aduan pengurusan sisa pepejal lewat diambil tindakan.
Bagaimanapun pengauditan yang dijalankan pada Mac hingga Jun 2013 mendapati pada keseluruhannya pengurusan sisa pepejal adalah di tahap memuaskan dari segi pemantauan terhadap kerja-kerja pungutyan oleh tujuh kontraktor melalui penggunaan Global Positioning System (GPS).

No comments:

Post a Comment